Jumat, 12 Maret 2010

Tantangan Pendidikan Akidah Dalam Era Globalisasi

TANTANGAN PENDIDIKAN AKIDAH DALAM GLOBALISASI

1.0 Pengenalan
Asas dalam pendidikan Islam ialah mengenal Allah, mentauhidkan Allah, meyakini dan menyerahkan diri kepada Allah. Al-Qur’an menyuruh ibu bapa menekankan persoalan akidah sejak berusia kanak-kanak lagi. Fitrah kejadian manusia percaya kepada Allah, dalam hubungan ini, ulama silam mengistilahkan manusia sebagai al-insan kawnu al-shagir (alam mikro), berbanding dengan alam semesta dikenali sebagai al-kawnu insan al-kabir (alam makro). Kedua-dua alam ini adalah makhluk Allah yang memang potensinya tunduk kepada-Nya. Cuma dalam hal ini manusia memerlukan pendidikan dan bimbingan untuk memastikan ketaatan kepada Allah dan pendidikan yang dilaksanakan perlu berasaskan tauhid.
Dengan adanya bimbingan kepada manusia dengan cara melaksanakan suatu sistem yang disebut pendidikan maka diharapkan manusia akan lebih sempurna dalam mantauhidkan tuhannya tanpa adanya keragu-raguan. Hal ini selari dengan pendapat al-Ghazali (1980) yang menyatakan bahwa matlamat yang paling utama dalam pendidikan Islam adalah, membuang segala kejahilan diri sehingga individu tersebut dapat mengenal ”pencipta” dan matlamat ilmu yang sebenarnya membolehkan individu dapat bertaqarrub kepada Allah.
Oleh sebab itu dalam melaksanakan pendidikan Islam, aspek pendidikan akidah merupakan asas yang mesti diberikan tumpuan lebih dalam pelaksanaannya. Saat ini terdapat pelbagai permasalahan yang dihadapi dalam pelaksanaan P&P pendidikan Islam terutama dibidang akidah. menurut Ab. Halim Tamuri dan Nik Mohmd Rahimi Nik Yusuf (2010) terdapat tujuh domain yang menjadi isu utama yang dikenal pasti dalam proses P&P pendidikan Islam, iaitu: mengenai strategi, kurikulum, bahan pengajaran, amalan P&P, prospek para pelajar sekolah agama, pencapaian silang mata pelajaran, dan kemahiran generik. Isu-isu ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin oleh semua pihak yang terlibat bagi menghasilkan prospek yang lebih cemerlang kepada pengajaran pendidikan Islam.
Tujuh domain isu yang telah dijelaskan diatas merupakan salah satu bagian sahaja dari pelbagai komponen yang terdapat dalam perjalanan proses P&P pendidikan Islam yang ada. Dalam pembahasan ini penulis tidak akan menguraikan dan menyentuh secara keseluruhan akan tetapi pembahasan ini hanya berfokus pada bidang pendidikan akidah sahaja, terutama sekitar isu-isu permasalahan pengajaran dan pembelajaran pendidikan, cabaran yang dihadapi umat Islam saat ini terutama dalam pendidikan serta bagaimana bentuk pengajaran dan pembelaran pendidikan Islam dalam bidang akidah, selanjutnya akan di uraikan juga cadangan-cadangan yang dapat dijadikan solusi dari menyelesaikan permasalan yang ada.
2.0 Pendidikan Islam
Pendidikan dalam Islam adalah sangat luas dan bersepadu, merangkumi seluruh cara hidup manusia. Kurikulumnya datang daripada Allah s.w.t, mengandungi aspek-aspek seperti akidah (kepercayaan), syariah (peraturan), ibadah (pekerjaan), akhlak (tingkah laku), sains, teknologi, sosiologi, politik, ekonomi dan lain-lain. Ia merangkumi kehidupan di dunia dan di akhirat dalam satu disiplin yang lengkap (Syed Qutub 1992).
Manakala Said Ismail Ali dalam Hassan Langgulung (1980) menyatakan. Bahwa sejarah menyaksikan perkembangan yang menakjubkan di kalangan manusia telah didorong oleh sifat-sifat dan dasar-dasar agama Islam itu sendiri iaitu. Pertama kesederhanaan akidah Islam dan jauhnya dari kekaburan dan kompilasi. Kedua keluwesan (fleksibel) tasyr’I Islam dan kesesuaiannya dengan perkembangan hidup. Ketiga ajakan yang tegas untuk mengikuti akhlak yang mulia dan menjauhi akhlak yang buruk.
Pada kesempatan lain Ali Ashraf menyatakan bahwa Pendidikan dalam Islam memiliki keupayaan yang tidak terbatas dalam membangunkan jati diri dan mengangkat darjat manusia ke tahap paling tinggi diantara makhluk ciptaan Allah (S. S.Hussin dan Syed Ali Ashraf 1989). Dari pelbagai penjelasan di atas dapat dirumuskan, Pendidikan dalam Islam merupakan satu panduan yang luas dan bersepadu yang disandarkan kepada wahyu Alllah, merangkumi akidah (kepercayaan), syariah (peraturan), ibadah (pekerjaan), akhlak (tingkah laku), sains, teknologi, sosiologi, politik, ekonomi dan lain-lain, dalam rangka keupayaan yang tidak terbatas dalam membangunkan jati diri dan mengangkat darjat manusia ke tahap paling tinggi diantara makhluk ciptaan Allah.
2.1 Konsep Akidah
Akidah berasal dari kata kerja ‘Aqada’ yang bermaksud simpul atau ikat. Ianya sering dikaitkan dengan jual beli seperti ‘aqada al bayt yang bermaksud perjanjian jual beli. Al-Quran seringkali menyebut perkataan ini dengan maksud ‘ikatan perjanjian, contohnya :



وَٱلَّذِينَ عَقَدَتۡ أَيۡمَـٰنُڪُمۡ
Maksudnya : ….dan mana-mana orang yang telah kamu buat kontrak dengan mereka… (Surah An-Nisa’, 4 : 33)
Untuk memahami lebih luas pengertian akidah, penulis akan jelaskan beberapa pandangan dari beberapa pakar lainnya yang kurang lebih sama iaitu: (Menurut Ibrahim 1972; Muhammad Nu’aim 1991; Ibnu Manzur Muhammad Abduh 1994; Abdullah Azam 1996; Sayyid Sabiq 2000; Khalil Milkawi 2004). Akidah adalah simpulan, ikatan atau sesuatu yang telah menjadi teguh dan telah termantap: sebagai pembenaran dalam hati terhadap sesuatu yang turut dipercayainya secara pasti tanpa syak atau ragu sedikitpun. Pendek kata akidah dibaratkan sebagai otak dan jentera penggerak utama diri manusia.
2.2 Kepentingan Penerapan Akidah Dalam Pendidikan
Islam sangat memberikan tumpuan terhadap pendidikan akidah dalam pembangunan manusia. Buktinya dapat dilihat apabila 56% daripada zaman penurunan wahyu, iaitu meliputi 13 tahun penyebaran dakwah di Mekah adalah tertumpu kepada pembinaan umat di bidang akidah. Maka tidak jarang kita temui contoh atau penekanan-penekanan pengajaran yang disampaikan oleh Allah melalui wahyunya, diantaranya adalah: Surah Al-A’raff (7 :172), :
Maksudnya : Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak Adam dari sulbinya dan Dia menjadikan mereka sebagai saksi bagi diri mereka sendiri dan dikatakan kepada mereka, “Adakah Aku Tuhanmu”, lalu mereka menjawab, “Ya, bahkan kami bersaksi”. Yang demikian ialah agar mereka tidak berkata pada hari kiamat kelak, “Sesungguhnya kami golongan yang lalai (daripada diberi peringatan.
Pada bagian lainnya terdapat didalam Surah Luqman, (31 : 13-15)
Maksudnya : Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa menasihatinya, “Wahai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah, sesungguhnya syirik itu kezaliman yang besar. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya,, ibunya mengandungkannya dengan kelemahan demi kelemahan dan tempoh menyusukan selama 2 tahun, berterima kasihlah padaKu dan kepada dua ibu bapamu dan kepada Akulah tempat kembali.
Dalam dua konsep ayat diatas tegasnya. Allah telah mengajarkan manusia dengan pendidikan akidah sebelum kita sampai kedunia yang mengakui-Nya sebagai tuhan kita dan bagaimana contoh yang ditamsilkan dalam ayat kedua antara luqman dengan anaknya. Menurut (Nasih Ulwan 2000). Pada penggalan ayat kedua salah satu kaedah yang digunakan dalam pendidikan akidah ialah dengan cara mengenalkan anak dengan kuasa Allah yang luar biasa dalam penciptaan alam dan mendidik secara konsisten untuk mengingati Allah.
Al-Attas (1985) berpendapat, pendidikan akidah adalah satu proses berterusan dalam hidup manusia di muka bumi dan menjadi tanggungjawab kepada semua ahli masyarakat. Objektif pendidikan dalam Islam ialah untuk melahirkan manusia yang baik dan seimbang, iaitu manusia yang adil kepada diri dengan membina keyakinan dan keimanan yang teguh kepada Allah s.w.t. yang merupakan satu-satunya realiti yang mutlak. Pendidikan yang sebenar ialah integrasi daripada pelatihan fizikal dan pendisiplinan bahagian kerohanian manusia kearah mencapai nilai kebahagiaan kerohanian yang merupakan kebahagiaan yang tertinggi dan bersifat abadi.
Manakala Mohmd Fauzi (2002) menyatakan bahwa pendidikan akidah perlu diterapkan dalam perancangan pembangunan ummah agar dapat melahirkan masyarakat madani yang akan melandaskan keseluruhan kegiatan hidupnya berasaskan paradigma tauhid, dan ia menyenaraikan beberapa kepentingan akidah dalam pendidikan iaitu:
1. Menyuburkan nilai-nilai positif dalam diri mereka seperti berfikiran matang, tenang, kritis dan saintifik, mempunyai wawasan dan misi pribadi yang jelas dalam hidup serta berpandangan jauh.
2. Meransang dan memotivasikan muslim melakukan amalan baik dan mulia dalam hidupnya kerana imam dan akidah bukanlah pegangan pasif bahkan adalah satu tenaga utama yang menggerakan manusia melakukan amalan-amalan mulia selari dengan kehendak Tuhan.
2.3 Kedudukan Pendidikan Akidah Dalam Pendidikan Nasional
Jika dilihat kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1987, Akidah menjadi suatu aspek penekanan utama dalam sistem pendidikan nasional. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyebut “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan untuk memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan cemerlang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri serta dapat menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. ( Akta Pendidikan 1996)
Penekanan terhadap akidah dapat dilihat melalui frasa ‘..berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.’ Walaupun perkataan Allah tidak digunakan bagi menampakkan bahawa sistem pendidikan dijalankan untuk semua, ia tetap menampakkan penekanan terhadap konsep tauhid kepada Pencipta melalui konsep uluhiah dan rububiyah bagi orang Islam dan hanya rububiyah bagi bukan Islam.
Dalam melaksanakan Pendidikan Islam di Malaysia, kerajaan menetapkan pula Falsafah Pendidikan Islam. Falsafah Pendidikan Islam di Malaysia adalah :“Falsafah Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.”
Menurut Tajul Arifin Noordin (2007), Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara amnya ditubuhkan ke arah membina semula dasar pendidikan yang lebih mantap kepada agama, bangsa dan negara. Peranan pendidikan yang tidak hanya menumpukan kepada perpaduan negara dan penghasilan tenaga manusia. Peranan pendidikan turut ditumpukan kepada pembinaan insan secara menyeluruh untuk mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Dalam artiannya Intelek : Melahirkan individu yang berilmu dan beriman kepada Allah dan mantap keyakinan kepadaNya menerusi program-program yang dijalankan. Rohani : Melahirkan insan-insan yang mempunyai rohani yang kukuh, tidak mudah terpedayadan terpengarruh kepada budaya merosakkan diri. Emosi : Melahirkan individu yang dapat mengawal emosi negatif yang membawa keruntuhan moral. Jasmani : Melahirkan insan yang sihat fizikalnya dan dapat menyumbangkan tenaga untuk membangunkan agama.
Tajul Ariffin noordin dan Nor Aini Don (2007) berpendapat bahawa hala tuju pendidikan Malaysia cukup baik. Ini terbukti dengan pengenalan Kurikulum Bersepadu iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Kurikulum ini menekankan pemikiran yang sihat, emosi yang stabil dan kepelbagaian kemahiran. Matlamat Pendidikan Akidah di sekolah rendah ialah :”Supaya pelajar dapat memahami dan meyakini asas-asas keimanan sebagai pegangan akidah dan benteng agama.’
Manakala matlamat pendidikan akidah di peringkat sekolah menengah pula ialah :”Untuk memantapkan pegangan akidah pelajar serta menghidupkan konsep tauhid secara sedar dalam keseluruhan amalan dan menjadi benteng keimanan’ Namun bagaimana dari sudut perlaksanaannya. Dan kenapa masih berleluasa kerosakan akidah, maksiat dan keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar. Ini memerlukan satu kajian tentang masalah yang dalam perancangan atau pelaksanaan serta cara mengatasinya.
3.0 Isu Pengajaran & Pembelajaran Dalam bidang akidah
Sebagaimana yang telah penulis jelaskan diawal pengenalan ini, menurut Zakaria et al (2010) bahwa terdapat pelbagai isu penting yang timbul dalam P&P akidah diantaranya iaitu:
1. Pengajaran akidah kurang diminati oleh pelajar berbanding pelajaran lain.
2. Pelajaran akidah kurang dikaitkan dengan semua aspek kehidupan.
3. Gambaran ketuhanan juga sering terlalu kaku dan kabur sehingga sukar untuk para pelajar menghayatinya.
Timbulnya permasalahan ini disebabkan oleh pelbagai factor secara teknis maupn non teknis, penulis setuju dengan apa yang telah dikemukakan oleh kajian yang telah dilakukan oleh Ab. Halim Tamuri dan Nik Mohmd Rahimi Nik Yusuf (2010) yang mendapati tujuh domain yang timbul sebagai isu dalam P&P pendidikan Islam. Penulis melihat isu yang dikenal pasti tersebut juga berlaku terhadap pendidikan akidah dalam P&P di bilik darjah.
1) Strategi dan Kaedah Pengajaran Pendidikan Islam
Strategi atau kaedah mempunyai peranan yang sangat penting dalam P&P, hal ini akan menentukan sikap pelajar terhadap hasil yang dicapainya, dalam masalah pemilihan kaedah pengajaran seorang guru dituntut agar lebih inovatif, kreatif dan fariatif untuk memilih dan memilah untuk memberikan P&P dalam bilik darjah. berdasarkan kepada kajian yang telah dijalankan di beberapa buah negeri di Malaysia. Kajian menunjukan bahwa kaedah syarahan atau kuliah adalah kaedah yang palig popular digunakan guru di dalam bilik darjah (Ab. Halim et al. 2004) factor utama guru menggunakan kaedah ini disebabkan oleh kos yang murah dan mudah digunakan tanpa memerlukan persediaan yang lama.
Hal ini juga diperkuat oleh kajian yang dijalankan Ab. Halim (2000) berkaitan dengan pengajaran akhlak dalam kalangan pelajar Tingkatan Empat di Selangor dan Negeri Sembilan. Hasil daripada temu bual yang dijalankan terhadap 27 orang pelajar, didapati lapan orang pelajar menyatakan bahwa mereka menghadapi maslaah dalam pengajaran yang diberikan, diantara faktornya adalah:
1. Tidak memahami apa yang dipelajari kerana penjelasan yang kurang atau kabur daripada guru (5 pelajar)
2. Mereka tidak dapat mengaitkan apa yang dipelajari untuk di amalkan dalam kehidupan keseharian mereka (5 pelajar)
3. Mereka merasa mengantuk, tidak dapat memberi tumpuan dan bosan terhadap pengajaran yang diberikan (3 pelajar)
4. Ada guru yang menunjukan teladan yang tidak baik semasa pengajaran dijalankan (1 pelajar)
Selain itu ada sepuluh pelajar yang menyatakan tidak diberi penjelasan mendalam tentang cara-cara untuk melaksanakan nilai-nilai akhlak yang dipelajari. Namun secara keseluruhan, P&P akhlak telah dapat meningkatkan kefahaman para pelajar secara keseluruhan, kajian yang dijalankan oleh Ab. Halim (2002) terhadap 932 pelajar di Selangor dan Negeri Sembilan, mendapati majoroti pelajar (90%) menyatakan guru-guru pendidikan Islam di sekolah telah dapat memberi dan meningkatkan kefahaman mereka tentang akhlak Islam.
2) Kandungan Kurikulum Pendidikan Islam Bertindah dan Tidak Selaras
Pada sisi lain permasalahan yang timbul adalah bercanggahnya beberapa aspek kurikulum pendidikan Islam di peringkat sekolah, secara umum kandungan yang terdapat dalam KBSM dan Kurikulum Pendidikan Islam adalah hampir sama dalam beberapa tajuk, hal ini terdapat dalam berbagai bidang keilmuan diantaranya, aspek ibadah, akidah, bidang tafsir, hadis dan al-Quran. Bagi kebanyakan pelajar penggunaan bahasa melayu menjadi keutamaan mereka kerana mudah difahami, manakala penggunaan bahasa Arab tidak menjadi pilihan pelajar, sebab sukar untuk difahami dan dikuasai, hal ini juga menimbulkan konflik diantara pelajar antara yang “mudah dan penting” dan yang “susah dan penting”.
Akan tetapi isu yang terpenting sebenarnya ialah, ketidak selarasan kurikulum pendidikan Islam di peringkat negeri yang akhirnya membawa kepada sistem peperiksaan yang berbeza di peringkat negeri seperti Peperiksaan Menengah Rendah Ugama (PMRU) dinegeri Kelantan dan Sekolah Menengah Agama (SMA) di Selangor, isu ini perlu dicarikan solusinya segera kerana masalah ini masih lagi berlarutan semenjak kemerdekaan sehingga kini, walaupun terdapat banyak usaha dilakukan namun masih tidak berjaya sepenuhnya.
3) Sumber dan Bahan Pendidikan Islami yang Terbatas
Walaupun telah banyak kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak, baik university, para penyelidik tentang P&P pendidikan Islam, namun begitu, jumlah kajian yang dilakukan masih terbilang sedikit, sebagai contoh. Kajian yang dilakukan dalam pengajaran pendididkan Syariah Islamiyah oleh (hatifah 2000) mendapati bahwa 44% (22) daripada guru tidak pernah mendapatkan bimbingan daripada pentabir, 56% (28) tidak pernah mendapatkan bimbingan daripada kakikatangan sumber dalam rangka perancangan pengajaran, selain itu 80% guru menyatakan tidak pernah mendapatkan bimbingan daripada pegawai pendidikan daerah.
Dalam pembinaan alat bantu pengajaran (ABP) pula, 76% guru tidak pernah menyediakan ABP sendiri, manakala 54% guru menyatakan pihak sekolah turut menyediakan ABP pendidikan Islam untuk mereka. Hatifah juga mendapati bahawa guru sangat kurang menggunakan alat pandang dengar seperti komputer (72%) dan televesien (54%) alat video (52%) radio (50%) dan menggunakan kaset (46%). Sebaliknya mereka kerap menggunakan buku teks (82%) dan mereka sangat kerap menggunakan papan hitam. Secara umum penggunaan alat audio dan pandang dengar adalah sangat rendah.
Pendek kata, sebagaimana dinyatakan oleh para penyelidik, bahawa guru-guru pendidikan Islam kurang menggunakan alat bantu pengajaran dan kaedah-kaedah lain kerana lebih banyak menggunakan kaedah kuliah, kesimpulannya. Keberkesanan P&P di dalaam bilik darjah sangat dipengaruhi oleh kaedah atau strategi yang diguna pakai oleh seorang guru, pemilihan kaedah ini akan sangat berkesan dalam pembelajaran apabila dibantu oleh pelbagai media pembelajaran seperti komputer, video serta media lainnya.
4) Amalan Pengajaran Guru dan Kelayakan Professional Guru Pendidikan Islam
Pelan Induk Pembanguan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007 adalah merupakan sebuah pelan perancangan pendidikan yang bersepadu, komprehensif, dan menyeluruh serta memberi penekanan terhadap memartabatkan profesion keguruan. Antara lain dasar dan matlamat memartabatkan profesion perguruan adalah dengan meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru dan kebajikan guru. Bagi mencapai dasar dan matlamat tersebut, fokunya adalah kepada menambah baik sistem pemilihan guru, memantapkan latihan perguruan, memantapkan kerjaya guru, menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru dan memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia. ((PIPP 2006-2010)

Walaupun telah ditetapkan sedemikian cantiknya, dalam hal ini. Konsep guru professional perlu diambil kira (mungkin diwajibkan secara lebih tegasnya) semasa pengambilan latihan dan penilaian prestasi dalam kalangan guru pendidikan Islam. Kelima-lima ciri guru professional (ilmu pengetahuan, terlatih, penyayang, mitra dan berpersatuan) perlu dipastikan sebelum mana-mana guru dibenarkan mengajarakn mata pelajaran ini, sekaligus dapat melambangkan dominannya dalam pendidikan menyeluruh. Demikian juga konsep peranan guru sebagai mursyid, murabbi, muaddib, muallim, muddaris, dai (pendakwah) dan musleh harus ditekankan dalam agenda latihan dalam perkhidmatan dan penilaian terhadap kecekapan prestasi guru dari semasa ke semasa (Ad. Halim & Azhar 2004)
Gamal (2002) telah menggariskan beberapa sifat yang perlu ada pada seorang guru, diantaranya, ikhlas, takwa, bertangung jawab dan bersopan santun dan terpenting juga ialah ghairah dengan tugasnya. Manakala Mohd Sani (2002) telah menyenaraikan beberapa ciri guru yang berkualiti, iaitu
1. Sifat dan kualiti peribadi - baik hati, jenaka, sabar, bertanggung jawab, yakin dan kepimpinan
2. Sifat dan kualiti professional - perasan ingin tahu, berpengetahuan ikhtisas, suka membaca, kemahiran bertutur, komunikasi, daya ingatan yang baik dan berdaya usaha untuk meningkatkan pengajaran supaya menarik dan berkesan.
3. Sifat dan kualitisosial - berbudi pekerti, ramah mesra, merendah diri semangat berbakti dan jujur.

5) Kekurangan Tempat untuk pelajar Sekolah menengah Agama
Pencapaian tinggi dalam bidang akademik telah dicapai oleh sekolah menegngah agama seperti Sekolah menenhah kebangsaan Agama (SMKA) Sekolah Berasrama Penuh (SBP), hal ini telah menarik minat ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak mereka kesekolah-sekolah agama tersebut. Walaubagaimanapun, tempat yang diperuntukan amat terbatas berbanding dengan pelajar yang berminat.
Ekoran dari hal diatas mengakibatkan sekolah Agama rakyat kurang menjadi pilihan ibu bapa jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah pilihan sebagaimana telah dijelaskan di atas. Disisi lain terdapat juga kebimbangan pandangan daripada ibu bapa bahawa, mereka memasukan anak-anaknya kesekolah ini semata-mata untuk memulihkan akhlak anak-anaknya setelah gagal melaksanakan tangungjawab, adalagi segelintir yang lain berpandangan bahawa Pendidikan Islam merupakan “mesin” yang boleh merubah anak mereka menjadi sholeh dalam tempoh masa pesekolahan.
6) Pengajaran Pendidikan Islam dan Pencapaian Bidang Akademik lain
Satu persoalan sering menjadi kegusaran para pemikir dan pelaksanaan pendidikan adalah tentang hubungan pendidikan agama dengan kecemerlangan palajar Melayu Islam dalam bidang akademik secara keseluruhannya. Walaupun jumlah pelajar disekolah telah meningkat dan mereka juga telah didedahkan dengan P&P Pendidikan Islam dalam tempoh yang lama, bukan sahaja dari segi pendekatan ilmiah atau pengetahuan, tetapi juga melalui kegiatan amali yang merangkumi aktiviti-aktiviti agama, pertandingan perbahasaan, syarahan dan sebagainya di peringkat bilik darjah, antara sekolah hingga ke peringkat kebangsaan. Walaupun usaha-usaha itu semakin bertambah, namun kian ketara pula kelemahan dan kegagalan orang-orang Islam dalam memenuhi apa yang diharapkan itu. Kenyatannya, berbanding dengan golongan bukan Islam, seolah-olah usaha itu ada menyumbang kepada kelemahan dan kegagalan orang Islam dari pelbagai bidang lain, antaranya bidang Matematik, Sains dan Teknologi bahasa Inggeris dan pelbagai kelemahan lain. (Puttit Mutzen 1999).
Satu lagi persoalan yang boleh dibangkitkan adalah tentang persepsi dan tahap penerimaan pelajar terhadap pendidikan agama yang diebrikan kepada mereka (formal, non formal dan informal). Salah satu aspek lagi yangs sering dikaitkan dengan pelajar sekolah agama adalah berkaitan dengan pencapaian mereka dalam bidang kokurikulum, khususnya dalam bidang sukan. Faktor sebegini disebabkan oleh, mungkin sekolah-sekolah menengah agama yang tidak mempunhyai kemudahan sukan yang mencukupi atau jika adapun, masih tidak dimanfaatkan secara maksimun.
7) Kemahiran Generik Dakwah Silang Budaya dan Etos Sistem Pendidikan Agama
Selain matlamat untuk membolehkan pelajar menghayati ajaran Islam, pendidikan Islam juga bertujuan untuk membolehkan mereka mempamerkan imej Islam yang terbaik dalam kehidupan keseharian. Dalam konteks Malaysia, adakah para pelajar sekolah menengah agama diharapkan bukan sahaja dapat mengamalkan ajaran Islam, tetapi juga mampu mempamerkan imej terbaik sebagai seorang muslim dalam kehidupan bersama masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya dan agama.
Pertanyaan mendasar dari isu ini ialah. Apakah strategi, kaedah serta pendekatan yang diajarkan disekolah-sekolah mengambil kira dalam konteks sebenar kehidupan terhadap keseharian pelajar? Atau mereka gagal dalam kehidupan Negara kita yang memiliki masyarakat majemuk, sesungguhnya harapan terbesar itu adalah, mampunya pelajar-pelajar kita menyampaikan mesej bagi semua kalangan baik muslim mahupun non muslim dalam pelbagai konteks kehidupan, tentu semua ini akan berhasil jika mendapatkan dukungan dari semua pihak.


4.0 Strategi serta Pendekatan Bersepadu Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Akidah
Dalam pembahasan ini penulis akan menerangkan beberapa solusi bagi guru untuk melaksanakan P&P dalam bilik darjah dalam pembelajaran akidah pendidikan Islam, penjelasan tentang pendidikan Islam, konsep akidah serta kepentingan akidah dalam P&P pendidikan Islam telah penulis terangkan diawal pembahasan ini, oleh itu beberapa solusi yang dicadangkan ini merupakan strategi atau pendekatan bagi guru agar mampu menyampaikan pembelajaran akidah lebih lebih baik sehingga mempunyai keberkesanan dan mencapai pbjektif yang telah ditetapkan.
4.1 Kaedah Pengajaran Akidah
Kaedah pengajaran yang baik dapat membantu pelajar memperolehi ilmu pengetahuan, kemahiran, mengubah sikap dan tingkah laku, menanamkan minat dan nilai-nilai positif. Kaedah pengajaran yang betul dan tepat adalah sebagai salah satu alat untuk memastikan segala objektif dan kurikulum pendidikan Islam tercapai dengan jayanya. Oleh sebab adanya perkaitan yang rapat antara kaedah pengajaran dengan objektif serta kandungan kurikulum tersebut, maka al-Abrasyi merumuskan bahawa kaedah pengajaran adalah segala usaha yangs sistematik untuk mecapai matlamat pendidikan melalui pelbagai aktiviti sama ada dalam atau di luar bilik darjah (al-Abrasyi 1975)
Manakala Dick dan carey (1996) menyatakan bahawa strategi merujuk kepada cara bagaimana guru ingin mencapai matlamat pengajarannya. Ianya merangkumi beberapa aspek urutan dan susunan maklumat dan keputusan bagaimana mencapainya. Manakala kaedah pula adalah cara menyampaikan maklumat atau menjalankan aktiviti pengajaran. Sebagai kesimpualnnya. Strategi serta kaedah pengajaran adalah, suatu jalan yang ditempuh oleh guru dalam menyampaikan maklumat pembelajaran dengan melakukan aktivti-aktiviti sama ada di dalam atau diluar bilik darjah.
Menurut Abdullah (1995) menyatakan bahawa pendidikan akidah hendaklah dimulakan sejak usia Tamyiz atau tahu membezakan yang baik dan buruk. Bimbingan hendaklah diberikan secara berterusuan dan berperingkat-peringkat. Beliau mencadangkan tiga kaedah mengajar akidah kepada anak-anak iaitu.
1. Membimbing anak supaya beriman kepada Allah s.w.t dengan cara mengenalkan mereka terhadap kekuasaan Allah s.w.t. dan dengan cara pemerhatian kepada ciptaan langit dan bumi yang luar biasa.
2. Menanam rasa khusuk, takwa dan perhambaan kepada Allah s.w.t. dalam diri anak dengan memerhati kekuasaan Allah s.w.t di seluruh peosok alam raya meliputi segala sesuatu.
3. Mendidik anak dengan perasaan ingat kepada Allah s.w.t. dalam segala aspek gerak-geri dan semua aspek kehidupan mereka sama ada semasa bekerja, berfikir dan sebagainya.
Walaupun pendidikan akidah hanya ditemui dalam pendidikan tauhid dalam P&P pendidikan Islam, namun seharusnya seorang gruru harus mampu mengaitkan pembelajaran akidah ini agar berkait dengan bidang-bidang kehidupan lainnya, seperti pembangunan ekonomi, sosial, politik dan budaya, hal ini bertujuan agar pelajar mampu melihat secara empiris nilai-nilai pendidikan ini dalam realita kesehariannya. Untuk itu pembelajaran akidah perlu dikemas dengan teliti, sempurna, jelas dan menarik minat pelajar demi untuk menyelamatkan pelajar daripada fahaman yang keliru.
Menurut Al-Ghazali (1939) bahawa dalam pembelajaran akidah seseorang tidak dapat dididik dengan strategi taqlid semata-mata, hal ini akan berakibat individu tersebut akan menjadi bebal. Maka seyogyanya manusia hanya akan dapat menghampiri Allah melalui kekuatan ilmu yang dibentuk secara bermakna iaitu (menurut logik, ijtihad dan mujtahid yang hidup pada zaman itu). Melalui penerokaan yang mendalam akan timbul kesadaran kepada manusia terhadap kebesaran Allah s.w.t.
Kesimpulannya: terdapat pelbagai strategi dan kaedah yang dapat diguna pakai guru dalam bilik darjah dalam P&P akidah pendidikan Islam. Namun begitu, tiada satu kaedah yang boleh dikatakan terbaik atau lebih sesuai untuk sesuatu mata pelajaran. Mungkin terdapat kaedah yang baik untuk pelajaran tertentu dan oleh guru tertentu, namun berkemungkinan kaedah tersebut tidak akan Berjaya mencapai tahap keberkesanan yang tinggi jika diaplikasikan dalam mata pelajaran yang lain.
Pendek kata, dalam menyampaikan P&P akidah pendidikan Islam tumpuan yang perlu diberi penekanan adalah proses penyampaian, pengamalan dan penghayatan kearah membina sahsiah pelajar dan menanam benih keimanan yang teguh dan mantap dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran isu-isu semasa dan yang akan datang, baik cabaran pihak dalaman mahupun luaran.
5.0 Cabaran Pendidikan Akidah
Terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pendidikan secara amnya saat ini, khasnya pendidikan Islam dalam konteks pengajaran dan pembelajaran akidah, cabaran-cabaran tersebut datang dari pelbagai pihak, sama ada yang luaran (pelaksana pendidikan itu sendiri, kementerian, sistem, falsafat diguna pakai dll) mahupun faktor dalaman iaitu (aspek yang terlibat lansung dengan perlaksanaannya, diantaranya, guru, hala tuju, serta persekitaran dimana dilaksanakannya pendidikan itu). Dalam pembahasan ini penulis akan mengurai beberapa faktor penentu atau dominan sahaja dari berbagai kriteria tersebut: diantaranya.
5.1 Faktor Kerajaan dan Kementerian
1) Pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang menuju ke arah sekularisma
Sekularism merupakan satu isu utama yang menyentuh secara langsung umat Islam dimana-mana tempat jua. Ideologi ini dilihat sebagai satu cabaran besar terhadap umat Islam dalam usaha membina identiti berasaskan ajaran Islam. Dari sudut yang lain penularan elemen sekularisma adalah akibat langsung daripada pengaruh dari kesan kolonialisme. Persoalannya apakah yang dimaksudkan dengan sekularisma? Menurut definisi dari Collins Dictionary of English Language, sekularisma”…the attitude that religion should have no place in civil affairs.”(Patrick Hanks 1981)

Sekular merupakan perkataan yang berasal dari istilah latin "Saeculum" yang merujuk kepada pengertiaan masa dan tempat. Konotasai masa dan tempat itu pula memberi erti masa kini sementara temapt pula adalah merujuk kepada "dunia" atau "hal ehwal dunia". Dalam hubungan ini al-Attas .(1978)merumuskan bahawa "Saeculum" lebih merujuk kepada konteks terkini dan semasa. Dari sudut definisi yang dikemukakan oleh al-Attas`jelas memperlihatkan bagaimana pengertiaan saeculum yang menjadi kata dasar kepada perkataan atau istilah sekularisma ternyata membataskan skop hanya kepada perkara-perkara atau kegiatan-kegiatan yang bersifat keduniaan.
Pendek kata Sekular bermaksud memisahkan agama dari kehidupan. Dalam konteks perlaksanaan pendidikan saat ini sekular ditakrifkan sebagai memisahkan ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu kehidupan seperti sains, sejarah, bahasa dan matematik. Penulis melihat isu ini baik di Malaysia ataupun Indonesia sendiri, biarpun dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan disebutkan bahawa matlamat akhir sistem pendidikan ialah melahirkan insan yang seimbang berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, namun jika kita lihat kepada perlaksanaannya, ia adalah lebih mirip kepada cara sekular. Pendidikan agama Islam di Malaysia terpisah daripada ilmu-ilmu lain. Di peringkat sekolah, mata pelajaran Pendidikan Islam diletakkan sebagai salah satu daripada mata-mata pelajaran lain seperti sains, matematik, bahasa, geografi, sejarah dan lain-lain. Dan pada mata pelajaran Pendidikan Islam yang satu itulah terbahagi pula kepada subjek-subjek agama seperti akidah, syariah, akhlak, Al-Quran, Al-Hadis, Jawi dan Bahasa Arab.
Sukatan mata pelajaran sains contohnya menggunakan frasa ‘alam semula jadi’ bagi merujuk kepada alam semesta ciptaan Allah, ini jelas mengambil ideologi barat dan mengesampingkan pemikiran akidah Islam iaitu Allah yang menciptakan alam ini. Mata pelajaran sejarah juga kurang dikaitkan dengan agama sebaliknya mengenangkan nostalgia sejarah-sejarah yang lepas dan menghafal tarikh-tarikh serta nama tokoh daripada mendidik pelajar mengambil iktibar daripada sejarah. Tidak dinafikan adanya guru-guru yang mengambil inisiatif sendiri untuk menekankan aspek akidah dan agama Islam dalam pengajaran namun ianya adalah kes terpencil dan bukanlah melibatkan secara keseluruhannya.
5.2 Faktor Sosial
a) Ajaran-ajaran Sesat dan Menyeleweng
Ajaran sesat (bahasa Inggeris: Heresy) atau Bidah atau kadangkala ditulis sebagai bid'aah, bid'aah (dari bahasa Arab بدعة yang secara harfiah bererti "memulai"), menurut Oxford English Dictionary, adalah "pandangan atau doktrin teologi atau keagamaan yang dianggap berlawanan atau bertentangan dengan doktrin Gereja Katolik atau Ortodoks, atau, dalam pengertian yang lebih luas, dengan doktrin gereja, keyakinan, atau sistem keagamaan manapun, yang dianggap ortodoks atau ajaran yang benar. Dalam pengertian ini, ajaran sesat adalah pandangan atau doktrin dalam filsafat, politik, ilmu, seni, dll., yang berbeda dengan apa yang umumnya diakui sebagai yang berwibawa. (Wikipedia eksiklopedia bebas 2010)
Manakala Abdulfatah Haron Ibrahim (1993) mentakrifkan bahawa ajaran sesat adalah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan hakikat ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada Islam yang berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah serta bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal jamaah.
Sejarah menunjukan di Malaysia sendiri terdapat beberapa aliran sesat yang telah berlansung dari beberapa tahun silam, walaupun sudah diharamkan pihak kerajaan namun perlu sebuah antisipasi yang kuat dari segi akidah oleh umat islam sendiri, diantara yang disenaraikan iaitu:
1. Ajaran Empat Sahabat (kota Baharu pada tahun 1974)
2. Ajaran Cerang Melilin (Terengganu pada tahun 1976)
3. Ajaran Husein Ali (Kuala Terengganu pada tahun 1976)
4. Ajaran Tok Ayah Selamat (Kota Bharu pada tahun 1989)
5. Ajaran Al-Argam (seluruh negeri 1988)
6. Ajaran Anti Hadis ( Wilayah Persekutuan 1992)
Kor Agama Angkatan Tentera Kementrian Pertahanan Malaysia (KPM1995)
Oleh itu untuk membasmi serta menghadapi cabaran-cabaran aliran sesat yang selalu menggerogoti umat Islam dari semasa kesemasa, umat Islam haruslah bertangungjawab serta mengkaji ajaran atau sesuatu amalan itu dengan teliti dan terperinci agar tidak mudah terpengaruh dan terjerumus, tentu hal terbaik yang perlu dilakukan adalah penanaman pelajaran akidah terhadap anak semenjak dini, supaya dengan ini keimanan serta keyakinan umat Islam terhadap kebesaran Allah tetap terjaga.
5.3 Faktor Globalisasi
a) Budaya Hedonisme serta Pengaruh Media Massa
Menurut Kamus Dewan (1994) Hedonisme menurut ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Manakala Sudarsono dalam Mohd Ghazali Mhmd Nor (2007) dalam bukunya Etika Islam Tentang Kenakalan Remaja pula mengatakan Hedonisme sebagai doktrin yang memandang kesenangan sebagai kebaikan yang paling utama dan kewajipan seseorang untuk mencari kesenangan bagi tujuan kehidupan. Ia beranggapan bahawa sesuatu perbuatan yang baik adalah mendatangkan kelazatan atau nikmat. Dalam Erti kata lain mereka beranggapan bahawa kesenangan dan kenikmatan adalah merupakan tujuan akhir hidup.

Perbincangan mengenai akidah akan turut melibatkan persoalan Iman.Konsep Keimanan adalah mengenai individu yang mempunyai akidah yang benar dan mempunyai tiga elemen penting merangkumi pegangan kuat berasaskan keyakinan, wujudnya unsure ketundukan yang tulus dalam sanubari manusia terhadap apa yang diimaninya dan yang terakhir adanya unsur cetusan atau ransangan dalaman dalam diri individu tersebut untuk menterjemahkan seluruh prinsip keimanannya di dalam diri individu tersebut untuk menterjemahkan seluruh prinsip keimanannya di alam kenyataan dengan berusaha untuk menyelaraskan seluruh aktiviti hidup hariannya berasaskan nilai-nilai keimanan tersebut. Ini kerana individu tersebut tidak boleh bersabar melihat segala aktiviti hidup dilangsungkan berasaskan bentuk dan kaedah yang bertentangan dengan asas-asas keimanan yang terpendam jauh dan kental dalam hati sanubarinya. Mohd Fauzi bin Hamat (2002)

Merujuk kepada defenisi diatas, jelas sekali budaya hedonisme amat bertentangan dengan akidah umat Islam. Hal ini kerana budaya hedonisme mementingkan kebebasan fikiran sedangkan Aqidah Islam meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai paksi pemikiran. Islam sangat memandang berat pemikiran-pemikiran yang cuba menganggu umat Islam. Hal ini kerana sekiranya pemikiran-pemikiran ini tidak dikawal, ia mampu merosakkan aqidah umat Islam. Sedangkan Aqidah berfungsi sebagai tonggak seluruh perancangan hidup manusia khususnya yang menyentuh aspek perancangan ummah.
6.0 Kesimpulan
Penekanan terhadap Pendidikan Akidah sememangnya telah jelas dan berpatutan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Namun yang menjadi cabaran ialah bagaimana untuk melaksanakannya dengan berkesan bagi mendidik pelajar mempunyai akidah yang teguh dan mantap. Justeru itu, adalah diharapkan Pendidikan Akidah akan menjadi teras kepada Sistem Pendidikan Negara bermula dari peringkat pra persekolahan hinggalah Institut Pengajian Tinggi kerana kepentingannya terhadap pembentukan iman dan pembinaan sahsiah Muslim. Ini kerana umat Islam tidak boleh mengambil mana-mana ideologi lain bagi mendidik generasi mereka kerana ideologi lain tidak membawa manusia mengenal dan beriman kepada Allah. Sebagaimana firman-Nya:
Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, tidak akan diterima dan pada hari kiamat dia akan tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi. (Surah Ali Imran, 3 :85)






























Rujukan

http://www.quranexplorer.com/quran/

Ab. Halim Tamuri & Nik Mohd Rahimi Nik Yussoff. 2010. Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam. University Kebangsaan Malaysia. Bangi

Abdul Latif Bin Muda dan Rosmawati bt, Ali @ Mat Zin. 1998. Pengantar Ilmu Tauhid. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd.

Abul Salam Muhamad Shukri, 2003. Panduan Mengajar Akidah Kepada Kanak-kanak. Pahang : PTS Publication.

Abuddin Nata, 2001. Metodologi Studi Islam. Indonesia : PT Raja Grafinda Persada.

Abdulfatah Haron Ibrahim. Ajaran sesat. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementrian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur, 1993
Ajaran sesat. Satu Ancaman Terhadap Keselamatan Negara. Kor Agama Angkatan Tentera, Kementrian Pertahan Malaysia. Kuala Lumpur. 1995

Hassan, 2007. Islam Hadhari: Menangani Gelombang Globalisasi. Perak. Universiti Pendidikan Sulatan Idris.

http://www.gemaislam.net/artikel/Tauhid_Asas_Dalam_Pendidikan_Islam.pdf

http://www.gemaislam.net/artikel/ Konsep_Tadib_dalam_Pendidikan.pdf

Kementerian Pendidikan Malaysia. (1994). Kamus Dewan Edisi ketiga, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Mohd Ghazali Md Nor. (2007). Israiliyyat Moden: Tumpuan Terhadap Hedonisme (Latihan Ilmiah. Jabatan al-Quran dan al-Hadith. Akademi Pengajian Islam. Universiti Malaya

Mohd Fauzi bin Hamat. (2002). Peranan akidah dalam perancangan pembangunan ummah : Satu analisis dalam konteks masyarakat kini dalam jurnal Usuluddin Bil 16 Kuala Lumpur : Universiti Malaya

M. Yatimin Abdullah. 2006. Studi Islam Kontemporer. Indonesia : Penerbit AMZAH. Muhd Yusuf

Wan Mohd Nor Wan Daud. 2006. Masyarakat Islam Hadhari. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Mohd Nor Wan Daud. 2005. Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed Najib Al Attas Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi.Kuala Lumpur: Penerbit Univesiti Malaya)

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar

silakan berikan komentar terhadap blog ini